ANIVERSARY BELOG

Daisypath Anniversary tickers

Isnin, 29 Oktober 2012

Bahana Cinta Plastik (MIngguan Malaysia 28 OCT 2012)


Bahana cinta plastik

TUJUAN saya menulis ke ruangan ini bukan hendak mengutuk kaum sendiri atau mengiakan apa juga cerita kaum wanita, sebaliknya berharap pengalaman pahit yang saya tempuhi dapat dijadikan iktibar oleh suami di luar sana terutama yang ada niat menyimpan kekasih gelap mahupun hendak beristeri lebih daripada satu.'' Itu pengakuan Khaz dalam e-melnya.

''Saya sudah beristeri dan ada empat anak yang sihat dan bijak. Bukan niat membuka pekung di dada tapi mengakui apabila diri dilanda gelombang asmara, lelaki sering lupa tanggungjawab. Bukan tak sayang isteri tetapi sekadar ingin mencuba, kalau boleh nak kahwin lagi.
''Biasanya melalui ruangan ini saya baca kisah suami curang yang diceritakan oleh para isteri. Kalau dulu saya senyum sinis tetapi setelah berlaku pada diri sendiri barulah saya sedar dugaannya amat berat. Saya mengaku curang kepada isteri yang banyak berkorban dan setia kepada saya selama ini.
''Kami berkahwin lebih 10 tahun. Hidup kami memang bahagia kerana perkahwinan dibina atas dasar cinta, bertambah erat apabila dikurniakan anak tetapi siapa sangka keadaan itu berubah apabila saya mabuk cinta untuk kali kedua.

''Episod kecurangan saya bermula apabila asyik melayari facebook yang menjadi kegilaan orang tak kira tua muda masa kini. Nak dijadikan cerita dalam 'fb' ini saya terjumpa kekasih lama saya Su ketika kami masih belajar di sekolah menengah lagi tetapi hubungan kami terputus setelah masing-masing melanjutkan pelajaran.
''Gembiranya hati apabila ditanya Su mengaku, itulah gambarnya dan itulah keadaannya. Apalagi segala kenangan manis ketika kami bercinta dahulu, kembali berasap dan berapi semula. Perkenalan kami berlanjutan dan kami mula bertukar nombor telefon.
''Gelora cinta saya kembali ghairah apabila saya dapat tahu dia kini single setelah dikecewakan kekasihnya. Mulanya kami hanya berbual biasa tapi lama-kelamaan langkah kami semakin panjang sehingga keluar minum dan makan-makan.
''Su tahu yang saya sudah berkahwin dan saya pernah kenalkan dia dengan isteri saya Hidayah, tapi Su masih layan saya dengan baik malah bertambah mesra. Dia tidak pernah menolak apabila diajak keluar minum dan makan waktu malam. Bila selalu dilayan dengan manja, senyum lentuknya membuatkan saya lupa isteri dan anak- anak di rumah.

''Akhirnya daripada seorang ayah penyayang dan suami bertanggungjawab, saya lupa diri. Hari- hari tumpuan saya hanya pada Su. Anugerah Allah menambah rezeki dengan menaikkan pangkat saya, rupanya ujian untuk saya yang saya tak nampak.
''Sejak naik pangkat dan gaji bertambah, saya mula belajar menipu Hidayah yang setia di rumah. Saya balik lewat dari pejabat dengan alasan banyak kerja. Hidayah percaya cerita saya. Padahal lepas waktu pejabat saya berkejar jumpa Su dan habiskan masa dengannya hingga lewat malam.

''Saya jadi muak tengok muka Hidayah. Perasaan muak membuat saya rasa menyampah dan tidak betah duduk di rumah. Ada saja benda yang tidak kena di mata bila melihat Hidayah menyebabkan kami kerap bertengkar. Akhirnya Hidayah suarakan perubahan yang dia nampak pada saya. Tapi saya tidak peduli. Anak-anak pun saya tidak kisah. Tengah mabuk cintalah katakan. Macam-macam saya beli untuk Su kerana saya yakin Su mencintai saya.
''Saya tidak ambil tahu apa keperluan Hidayah dan anak-anak kerana Hidayah akan uruskan sebab dia bekerja dan bergaji. Saya cepat berang dan meradang bila Hidayah mempersoalkan ke mana gaji saya dihabiskan kerana belum hujung bulan saya akan tebalkan muka pinjam duitnya. Walaupun kecewa tapi Hidayah tetap membantu.

''Bila selalu keluar berdua pasti makhluk ketiga akan sesatkan umat Muhammad S.AW dan akibatnya saya dan Su terlanjur. Bukan sekali dua tapi setiap kali berjumpa.

''Akibatnya saya jadi lebih angau kalau tidak jumpa. Setiap malam saya pasti jumpa Su sebelum balik rumah. Bila di rumah, saya jadi dingin nak layan Hidayah sehingga dia mengesyaki saya dan bertanya apa sebabnya.
''Akhirnya saya mengaku tengah bercinta dan akan kahwin lagi satu. Hidayah terus menangis dan minta dilepaskan kerana tidak sanggup bermadu. Ketika itu saya tidak fikir perasaan dia. Saya katakan padanya saya tidak akan lepaskan dia kerana saya masih sayangkan dia dan anak-anak cuma saya ingin kahwin lagi satu. Tak boleh ke?

''Saya yakin mampu menguruskan keluarga dengan gaji saya. Hidayah yang nampak lembut berkeras minta cerai dengan alasan saya tak mampu dari segi zahir batin, belum masuk bab perasaan dan hati.
''Tetapi saya tidak pedulikan perasaannya dan anak-anak saya biarpun ketika itu mereka sedang menghadapi peperiksaan penting.
''Matlamat utama saya tetap hendak kahwin dengan Su, cinta pertama saya.
''Hendak dijadikan cerita, satu hari saya ditugaskan ke luar daerah selama sebulan. Bila pulang, saya tak balik rumah sebaliknya terus ke rumah Su untuk melepas rindu. Alangkah terkejutnya bila sampai depan rumah Su, saya nampak ada sebuah kereta dan di dalamnya ada lelaki. Tidak lama kemudian saya nampak Su keluar dengan senyum lentuk lalu masuk ke dalam kereta tadi.
''Berderau darah saya. Rasanya mahu saya terkam Su ketika itu. Namun saya kuatkan hati dalam marah memandu pulang ke rumah. Sampai di rumah, Hidayah tak berani menyapa kerana melihat wajah saya yang tengah bengang.
''Keesokannya saya ke tempat kerja Su minta penjelasan. Ringkas jawapan Su sambil senyum melirik,''Dah awak beri saya terima!! Rezeki jangan ditolak". Su mengaku dia terpaksa layan saya kerana saya banyak melabur untuknya. Lelaki tersebut kekasihnya yang bertugas di luar negara baru pulang ke Malaysia.
''Ketika itu baru saya sedar. Ada wanita sanggup gadai maruah untuk kesenangan yang dicita. Bila teringat isteri di rumah terasa malu dengan balasan yang Allah tunjukkan pada saya.

''Kepada suami yang belum terjebak dengan skandal, pesan saya, hargailah isteri kita." Itu pengakuan ikhlas Khaz atas kesilapannya semoga menjadi iktibar kepada semua.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121028/ke_03/Bahana-cinta-plastik#ixzz2Afz0Pitu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

GOOGLE AGENT